Tuesday, May 30, 2017

Perbualan tak disangkakan



Mostar, Bosnia

Suatu petang, sebaik tiba di bilik Hostel Studenski Mostar, kami dikejutkn dengan ketukan di pintu kaca balkoni kami. Keluhan kecil hampir keluar daripada mulut. Siapa pula yang mengganggu waktu kami kepenatan ni. Sebelumnya, kami terpaksa berurusan dengan pengurus hostel ini berkaitan bayaran hostel, di mana pengurusnya tidak boleh bercakap dalam bahasa inggeris. Urusan yang sepatutnya selesai dalam masa 5 minit berlangsung sehingga 25 minit. Kemudian ditambah lagi dengan 10 minit apabila kami menyatakan hasrat mahu mendapatkan kata kunci wifi. Kecewa dengan layanan dingin dan merumitkan daripada pihak pengurus hostel, kami terpaksa berjalan kaki pula ke bangunan sebelah. Apa yang kami faham, bilik kami terletak di blok bersebelahan. Namun, perjalanan dipanjangkan dengan menaiki tangga sehingga ke tingkat tiga, sebelum keluar melalui tangga yang berada di luar, melalui semak samun dan akhirmya masuk ke bangunan bersebelahan sebelum menaiki tangga menuju ke tingkat tiga semula. Sengaja? Atau tidak? Perasaan sabar kami sememangnya teruji dengan kerenah staff hostel di sini. Teringat kata-kata pakcik muslim , pemandu teksi kami sebentar tadi, dalam nada tidak puas hati,

  • “Kenapa awak berdua sewa hostel di sana ? Disana bukannya kawasan muslim. Banyak lagi hostel kamu boleh sewa di sini.”

Kami memang tahu terdapatnya tekanan konflik antara dua etnik di Mostar, Muslim Bosnian dan Orthodox Croates. Wallahu’alam. Lebih baik bersangka baik.

Perasaan lega menjurus tiba sebaik dapat melengahkan punggung di atas katil. Namun, ketukan dari luar mematikan lamunan kami. Langsir ditarik, dan kelihatan seorang wanita muda berambut perang, berkaca mata tersenyum manis memberi isyarat buat kami membuka pintu.

-” Hai, saya baru dengar ada tourist baru masuk ke bilik ini hari ini. Saya jiran sebelah awak, oh dan kita berkongsi  balkoni, awak tahu kan? Saya Ana, Ana Misura. “

Senyuman Ana menghilangkan perasaan tersentak kami tadi. Terus dibuka pintu dan diajaknya duduk bersama kami.

  • “ Saya memang dengar hostel ini rupanya hostel kampus sebenar. Tapi saya tak sangka ada lagi pelajar tinggal di sini musim panas ni” Selamba saya bertanya pada Ana.

Natrah yang peramah lantas memperkenalkan dirinya dan saya kepada Ana. Lega kerana kali ini kami terjumpa seseorang yang akhirnya boleh berkomunikasi lebih baik dalam Inggeris. Mereka asyik berbual sedang saya masih mengeluarkan makanan untuk berbuka dan  pakaian persiapan untuk mandi.  

  • “Oh ya, betullah kata awak, hostel ini memang kampus kami, sebab itu ia terasing jauh daripada kawasan pelancong. Tapi ia dibuka pada umum pada musim panas. Awak tahu, apa-apa yang boleh dibuat selagi pihak sini boleh mendapatkan wang, mereka ok sahaja. Saya stay di sini kerana saya masih ada ujian minggu depan. “ jelas Ana.

Kata-kata Ana dipintas dengan laungan azan daripada telefon Natrah, menandakan waktu maghrib dan berbuka puasa. Dia bingkas bangun dan melihat sekeliling kami. Raut wajahnya berubah, seakan bersalah menganggu pada waktu sebegini.Kami meminta izin dengan Ana, untuk solat terlebih dahulu.

  • “Oh, awak pun berpuasa Ramazan ? Okay, maaf, maaf, saya akan berikan awak waktu bersiap. Nanti jemputlah ke bilik saya apabila awak dah selesai. “ Senang hati Ana menjemput kami.

Pertemuan yang sangat singkat, tapi sangat terkesan bagi kami. Sebaik Ana berlalu, saya dan Natrah saling berpandangan dengan perasaan keliru, dan akhirnya kami tertawa bersama. Pertama kali jumpa orang asing yang sangat peramah agaknya. Dan saya masih berat hati mahu ke biliknya, kerana terlampau penat, dan hampir saja menyalahkan Natrah kerana terlalu rajin melayan akak tersebut. Apa pun, setiap pertemuan pasti ada hikmahnya.

Usai isyak, sedang saya masih berkira-kira untuk meneruskan tarawikh atau tidak, barulah saya perasan Natrah sudah tiada di tempat pembaringannya. 4 minit kemudian, terpacul muka Natrah dari balkoni, lantas mengajak saya ke bilik Ana. Dengan kemalasan, saya cuba tersenyum dan akhirnya mengekori Natrah ke luar balkoni.
Di dalam bilik Ana, terdapat dua lagi wanita, seorang berkaca mata dan seorang lagi beramabut panjang coklat. Mereka tidak sefasih Ana, tetapi masih cuba mengukir senyuman termanis mereka kepada saya. Natrah terus memperkenalkan saya kepada mereka, dan mereka kembali rancak berbual. Melihat perasaan ingin tahu mereka, saya pun terjebak dalam perbualan mereka sehingga larut malam. Sedang saya menunjukkan kepada mereka laman Facebook saya, terpacul kenyataan daripada Ana,

- “ Awak tahu, ini pertama kali saya betul berbual-bual dengan seorang muslim. Saya tahu di sini ada ramai muslim, tapi mereka tidak semacam awak berdua. Bosnian muslim ( Bosniaks) selalunya dingin dengan kami, mungkin sebab itu kami tak pernah rasa boleh serasi dengan mereka. Awak tahu cerita peperangan di sini kan?

- “Yelah, bila awak beri tahu, baru saya perasaan. Awak berdua nak tahu, saya tak hairan pun kalau Mostar berpecah dua suatu hari nanti. Kami bukannya bercakap bahasa yang sama, apatah lagi agama dan budaya kami yang berlainan. Muslim hidup sesama mereka, dan kami pula dengan cara hidup kami. “ terang rakan Ana.

Saya dan Natrah yang kebingungan bertanya pada mereka, apakah keadaan sebenar masyarakat di sini. Dan rakan-rakan Ana menjelaskan kepada dengan panjang lebar sejarah peperangan mereka, bagaimana Bosniaks, Croats dan Serbs bertempur setelah negara Bosnia dan Herzegovina keluar daripada Yugoslavia sekitar tahun 1992 , dan kesannya kepada masyarakat sehingga ke hari ini.

Banyak kemudahan dan bangunan mereka dimusnahkan sewaktu peperangan ini, seperti jambatan, gereja, muzium dan 12 daripada 14 buah masjid turut musnah sama sekali. Parut kesedihan dan kesengsaraan daripada peperangan ini nampaknya masih membengkak dalam kalangan etnik Bosniaks, Croats dan Serbs yang masih berada di Bosnia. Mereka tidak berkongsi bahasa yang sama, malahan budaya dan sejarah, tetapi ditakdirkan oleh pihak luar untuk bersatu sebagai sebuah negara sehingga ke hari ini. Dan sungguh, rata-rata rakyat Mostar masih berbangga dengan etnik masing-masing dan perbezaan mereka.

Kami terdiam mendengar luahan hati Ana, banyak perkara bermain dalam benak pemikiran kami. Seraya kami bertanya kepada Ana,

  • “Jadi, apa perasaan awak apabila berjumpa kami?” gurau Natrah.

  • “Oh, haha saya memang gembira mendengar adanya tourists datang ke sini, tetapi saya tak tahu pun awak muslim. Dan saya perlu kata, awak berdua sangat berlainan dengan muslim di sini. Awak berdua masih belajar, bertubuh kecil dan datang jauh daripada Malaysia, dan masih, awak berdua boleh sampai ke bandar kecil kami. Saya gembira sebenarnya dapat bercakap dengan kamu berdua. Banyak saya belajar hari ini.”
Allahu, terharu kami mendengarnya, dan sungguh sebenarnya kami yang lebih banyak belajar daripada mereka. Allah saja yang tahu betapa malunya saya rasa sebaik Ana berkata sebegitu. Dan sungguh, ini semua rancangan Allah untuk mentarbiyah kami berdua. Semoga masa depan Mostar dan Bosnia keseluruhannya semakin cerah dan pulih daripada masa silam mereka. Mohon Allah menguatkan hati-hati penduduk muslim di sini dan terus memberi hidayah dan kekuatan buat mereka. Dan semoga , mereka yang mencari kebenaran terus dibimbing oleh Tuhan kepada fitrah kejadian mereka.